BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday 11 May 2011

Lebih 3,000 Keluarga Kee Hadiri 'Perhimpunan Jejak Kasih Keluarga

TAWAU, 4 April -- Lebih 3,000 anggota keluarga keturunan Kee dari seluruh Sabah malah di Semenanjung dijangka menghadiri program "Perhimpunan Jejak Kasih Keluarga" yang akan diadakan pada September ini.

Pengerusi program berkenaan Kee Hamid Kee Sulaiman berkata perhimpunan itu dirancang untuk mempertemukan kembali seluruh anggota keluarga serta keturunan keluarga terbabit bagi mengeratkan lagi tali silaturahim sesama mereka.

Nama keluarga Kee berasal daripada nama Kee Kim Swee juga dikenali sebagai Kee Abdullah, yang merupakan pegawai kerajaan pertama yang dilantik kerajaan British di daerah Tawau pada 1894.

Menurut Kee Hamid nama Kee Kim Swee amat sinonim dengan bandar Tawau kerana Kee bersama penghulu pertama di Tawau, Pua Ado - seorang lelaki berketurunan Bugis Wajo - adalah pengasas kewujudan kawasan Tanjong (bandar Tawau) sekarang.

Perhimpunan itu bakal diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran sejarah dan warisan keluarga Kee dan sejarah bandar Tawau, persembahan, cabutan tiket bertuah penyampaian cenderahati untuk warga emas berusia 65 tahun ke atas, yang berasal daripada keturunan keluarga berkenaan.

Katanya sempena perhimpunan yang dinaungi Pembantu Menteri Kewangan Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan itu, keluarga Kee akan menggunakan warna tema ungu.

"Meskipun masih ramai yang berada di Tawau, tidak sedikit waris keturunan keluarga Kee ini yang menetap di merata tempat termasuk di seluruh Sabah, Semenanjung dan di luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam hal berkaitan, Kee Hamid berharap program itu dapat menarik lebih ramai waris keturunan keluarga terbabit untuk menghadirinya.