BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday 11 May 2011

2,000 sanak saudara Kee hadiri perhimpunan Jejak Kasih 9th October, 2008

LEBIH 2,000 sanak saudara pewaris keturunan keluarga terbesar di Tawau iaitu ‘Keluarga Kee’, membanjiri Dewan Masyarakat Tawau seawal jam 8 pagi pada Sabtu lepas, bagi menghadiri Perhimpunan Jejak Kasih keturunan keluarga tersebut yang diadakan buat julung-julung kalinya.
Pada majlis yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Datuk Abu Bakar Titingan itu, kira-kira 30 warga tertua berketurunan Kee turut menerima cendera kenangan, sebagai tanda menghargai sumbangan mereka kerana melahirkan generasi penerus keturunan keluarga tersebut.
Mengimbau kembali berdasarkan fakta sejarah, Keluarga Kee merupakan sebuah keluarga yang terhasil dari nama seorang lelaki berketurunan Cina Hainam iaitu Kee Kim Swee, yang kemudianya memeluk Islam dan lebih dikenali dengan nama Kee Abdullah.
Apa yang membuatkan sejarah keluarga terbesar ini menjadi menarik dan begitu sinonim dengan kewujudan bandar Tawau ialah Kee Abdullah merupakan Pegawai Kerajaan Pertama di Tawau, yang dilantik oleh Kerajaan British Charted Company pada 16 Oktober 1894.
Beliau ketika itu menjawat jawatan sebagai Pegawai Pemeriksa Kastam dan Pemungut Hasil Cukai, di bawah Residen Ar. Dunlop yang berpengkalan di Silam, Lahad Datu.
Di zaman beliau menjadi pegawai kerajaan, Kee Abdullah turut bekerjasama dengan seorang lelaki berketurunan Bugis Wajo iaitu Pua Ado atau nama sebenarnya La Toampong Andi Bukku, untuk mentadbir bandar Tawau.
Pua Ado ketika itu dianggap Penghulu atau Ketua Daerah yang pertama di Tawau oleh pihak British.
Hasil kerjasama yang terjalin, Kee Abdullah dan Pua Ado kemudiannya meneroka dan mengasaskan kawasan Tanjong sebagai sebuah pusat perniagaan yang hari ini dikenali sebagai bandar Tawau.
Kembali mengenai keunikan sejarah Keluarga Kee ini, darah kepimpinan Kee Abdullah nampaknya terus mengalir ke dalam diri waris-warisnya apabila ramai ahli keturunan keluarga itu terus lahir sebagai pemimpin kerajaan yang menyumbang kepada aspek pembangunan daerah dan negeri.
Antara mereka yang dimaksudkan ialah seperti Mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Ahmad Baharom Titingan, Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk K.Y Mustapha dan Mantan Wakil Rakyat Tanjung Batu, Mohd Kamil Datuk Kassim.
Pembantu Menteri Kewangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas, Datuk Tawfiq Datuk Abu Bakar Titingan dan Ketua Daerah Tawau ketika ini iaitu Kee Mohd. Ayub Kee Abu Bakar juga adalah antara pewaris keturunan Keluarga Kee.
Sementara itu, Datuk Tawfiq ketika ditemubual melahirkan harapannya yang majlis itu akan menjadi jambatan bagi menghubung serta merapatkan lagi tali silaturahim di kalangan keturunan keluarga berkenaan.
Ini kerana katanya, kebanyakan generasi kelima, keenam dan ketujuh pewaris keturunan keluarga tersebut, semakin tidak mengenali sanak-saudara mereka, yang hari demi hari semakin ramai dan tinggal di merata-rata tempat di seluruh negara.
“Mudah-mudahan majlis ini akan membuatkan kita saling kenal-mengenali,” katanya.
Dalam kenyataannya, beliau turut berharap setiap generasi muda Kee menimba ilmu pengetahuan sedalam mungkin agar mereka juga boleh menyumbang kepada aspek pembangunan daerah Tawau dan negeri Sabah, seperti yang dilakukan oleh generasi keluarga mereka yang terdahulu.
Tawfiq turut mencadangkan agar pertemuan keluarga seumpama itu diadakan dua tahun sekali.
Bagi Ketua Daerah Tawau Kee Mohd Ayub Kee Abu Bakar pula, berharap ahli keluarga Kee tidak melupakan istiadat budaya mereka agar ia tidak terhakis di telan zaman.
“Sopan santun dan adat anak negeri tidak seharusnya dibiarkan terpinggir,” katanya.
Ayah Kee Mohd Ayub iaitu Kee Abu Bakar Kee Abdullah juga pernah menjawat jawatan yang sama seperti anaknya.
Pada majlis itu, pelbagai acara menarik telah diadakan dan antaranya ialah persembahan tarian kebudayaan, cabutan tiket bertuah, sesi suai kenal, pameran barang-barang antik Keluarga Kee dan sebagainya.